sukan

Euro 2024: Belanda ‘mengerikan berdepan Austria

Jurulatih Belanda, Ronald Koeman menghentam pasukannya susulan persembahan buruk ketika kalah 3-2 di tangan Austria pada aksi Euro 2024 awal pagi tadi menyebabkan mereka menghuni tangga ketiga Kumpulan D.

Austria memenangi kumpulan itu di depan Perancis tetapi Belanda sudah terjamin layak ke pusingan 16 terakhir sebagai satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik sekalipun kecundang di Berlin.

Belanda menundukkan Poland dalam aksi pertama mereka sebelum keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan pilihan kejohanan Perancis, namun beraksi hambar di ibu negara Jerman menentang pasukan kendalian Ralf Rangnick.

“Perlawanan dengan Perancis agak bagus, mengambil kira keputusannya, kami bertindak lebih baik sebagai satu pasukan tetapi persembahan hari ini mengerikan,” kata Koeman kepada wartawan.

“Orang bermain teruk dalam aspek tertentu… kami perlu memantau lawan kami dan ia tidak berlaku.”Koeman berkata pasukannya melakukan banyak kesilapan menentang Austria, yang mendahului menerusi gol sendiri Donyell Malen.

Cody Gakpo menyamakan kedudukan dan selepas Romano Schmid meledak buat Austria, Memphis Depay menyamakan kedudukan buat Belanda sekali lagi, tetapi Marcel Sabitzer kemudian merembat masuk gol kemenangan pada minit ke-80.

“Saya boleh senaraikan banyak kesilapan,” kata Koeman.

“Kami bermula terlalu teruk dalam banyak aspek. Kami tidak bertahan dengan baik. Terlalu banyak peluang buat pasukan lawan.

sumber:- BH

“Kami tidak agresif. Kami kehilangan bola dengan mudah, terutama pada permulaan. Kami memang terlalu teruk.” – AFP