sukan

Penyanyi rap mahu bantu Selangor ringankan bayar denda

Penyanyi rap terkenal, Altimet sedia meringankan beban Selangor FC (SFC) dalam membayar denda yang dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Altimet yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya menyatakan mahu menyumbangkan separuh daripada kutipan royalti harta intelek miliknya pada tahun ini kepada SFC.

“Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bantu bayar denda ini, jika SFC sudi,” katanya di laman media sosial X.

Terdahulu, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap SFC susulan tindakan pasukan itu ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 yang mana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

sumber:- BH

Satu lagi hukuman yang dikenakan adalah perlawanan Liga Super musim ini membabitkan SFC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga akan dimainkan tanpa penonton.