Jaringan awal Ferran Torres memberikan pasukan simpanan Sepanyol kemenangan 1-0 ke atas Albania sebentar tadi ketika juara tiga kali itu mengakhiri peringkat kumpulan Euro 2024 dengan rekod sempurna sementara kekalahan itu menyingkirkan lawan mereka.
Pemain sayap Barcelona, Torres menyudahkan satu gerakan cantik pada minit ke-13 di Duesseldorf untuk menjejaskan suasana di stadium yang dipenuhi dengan majoriti penyokong Albania yang membuat bising.
Bagaimanapun, perlawanan itu tidak mudah buat pasukan Sepanyol yang menyaksikan 10 pertukaran daripada pasukan yang memulakan kemenangan 1-0 ke atas Itali empat hari terdahulu.
Sepanyol sudah memastikan juara Kumpulan B, tetapi Albania sedar secara realistiknya mereka memerlukan kemenangan untuk mara dan ia membuatkan perlawanan itu lebih getir terutamanya apabila mereka mengasak bertali arus pada babak kedua.
Di sebalik usaha terbaik mereka, Albania terpaksa pulang awal selepas meraih hanya satu mata dan berakhir di tangga tercorot kumpulan maut itu.
Ia menyamai pencapaian pada penampilan sulung mereka pada Kejuaraan Eropah 2016, apabila mereka turut terkeluar pada pusingan pertama tetapi berjaya meraih satu kemenangan.
Mengalahkan Sepanyol mungkin pencapaian paling mengagumkan setakat ini di Jerman namun ia terlalu sukar buat Albania, yang dilatih bekas pertahanan kiri Barcelona, Sylvinho.
Ia kali pertama sejak 2008 Sepanyol menang semua tiga perlawanan peringkat kumpulan sama ada pada Piala Dunia atau Kejuaraan Eropah.
Jurulatih Luis de la Fuente kini boleh mengalih tumpuannya kepada aksi pusingan 16 terakhir di Cologne Sabtu ini menentang pasukan terbaik di tangga ketiga yang belum diketahui.
sumber:- BH
Pertahanan tengah Aymeric Laporte satu-satunya pemain Sepanyol yang mengekalkan tempatnya susulan perlawanan dengan Itali, dengan tonggak tengah Rodri digantung perlawanan manakala pemain lain diberi peluang berehat. – AFP