sukan

Copa America: Messi kembali ke senario paling mengecewakan dalam karier

Sehari selepas berusia genap 37 tahun, Lionel Messi akan kembali ke senario paling mengecewakan dalam karier gemilangnya apabila Argentina berdepan Chile di Stadium MetLife dalam aksi Kumpulan A Copa America esok.

Lapan tahun lalu, Messi adalah sebahagian pasukan Argentina yang tewas pada final Copa America menerusi penalti di tangan Chile di gelanggang New Jersey itu – dengan penyerang itu gagal dalam penalti pertama pasukannya.

Ia adalah final ketiga berturut-turut Argentina dan Messi tewas – selepas kalah Piala Dunia 2014 kepada Jerman di Brazil dan final Copa 2015 ketika Chile menang di laman sendiri.

Pada ketika itu tumpuan terarah kepada bagaimana Messi, yang menyinar di peringkat kelab dan memenangi trofi individu bersama Barcelona, gagal menang bersama Argentina.

Ada perdebatan tidak berpenghujung yang membandingkannya dengan Diego Maradona yang membawa gemilang kepada negara selain cemerlang di Eropah yang menjadi idola rakyat Argentina, sesuatu yang tidak dapat dilakukan Messi.

Susulan tekanan itu, tambahan lagi penderitaan kalah, Messi meninggalkan pasukan kebangsaan sebelum dia menaiki bas di Meadowlands.

“Saya rasa cukup setakat itu. Pasukan kebangsaan sudah tamat buat saya,” kata Messi kepada televisyen Argentina ketika itu.

Ketika dia kembali ke Buenos Aires bersama pasukan, dia disambut oleh penyokong dan presiden ketika itu, Mauricio Macri selain Maradona yang memujuknya dan dia pantas melakukannya apabila menang Piala Dunia 2022.

Kemenangan itu menamtkan perdebatan mengenai Messi namun menurut bekas jurulatih Barcelona dan Argentina, ‘Tata’ Martino yang kini kembali menjadi jurulatih Messi di Inter Miami, ia mengubah pemain itu.

“Dia ada beban yang berat di bahunya, dan meninggalkannya mengubahnya setiap hari,” kata Martino.

Dan kini, sekali lagi New Jersey, Chile lagi, satu lagi kempen Copa America dan ia peluang untuk mengubahnya dengan tiga gelaran utama buat Argentina.

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni tidak mahu mengingati nostalgia dengan pasukannya ketika mereka hanya fokus kepada masa kini.

“Bola sepak akan berterusan, bola tidak berhenti. Stadium tetap sama, semua yang lain ialah sejarah, tiada guna mengenangnya. Kita perlu fikirkan lawan, saya tidak rasa ia berbeza dengan yang lain,” katanya semalam.

sumber:- BH

Juara dunia itu yang jelas menjadi pasukan pilihan pada Copa America kali ini, bermula dengan positif menerusi kemenangan 2-0 mengatasi Kanada di Atlanta minggu lalu. – AFP