sukan

Liga Super : Kedah leburkan rekod tanpa kalah lawan

Rekod tanpa kalah Penang FC selepas mengharungi tiga perlawanan pada aksi Liga Super musim ini lebur selepas tewas kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang mencatatkan keputusan 0-1 di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Kemenangan KDA FC itu meneruskan penguasaan skuad Sang Kenari dalam kesemua pertembungan tetangga utara menentang Harimau Kumbang sejak musim lalu.

Sebelum itu, Penang turun dengan formasi 4-3-3 dengan meletakkan Nabil Ahmad Latpi sebagai penyerang utama diapit pemain tengah, Al Hafiz Harun dan Amer Azahar di bahagian atas.

Kem pelawat yang turut memilih formasi sama terus memberi kepercayaan kepada Milos Gordic untuk mengetuai jentera serangan berganding bersama kapten pasukan, Sony Norde dan Sukhrob Nurulloev di kiri dan kanan.

Bermula garang, anak buah Akmal Rizal Rakhli cuba mendahului kem pelawat seawal minit ketiga menerusi Nabil namun rembatan deras bekas penyerang PDRM FC itu berjaya ditampan keluar penjaga gol pelawat, Kalamullah Al Hafiz.

KDA FC tidak kurang hebat melakukan asakan dan hampir mencetak gol pada minit ke-15 apabila berlaku kekalutan di depan gawang Penang namun tindakan pantas Sikh Izhan menggagalkan usaha anak buah Nafuzi Zain.

Penang nyaris membuka akaun jaringan menerusi Adib Raop pada minit ke-28 namun terkena tangan Nabil yang cuba menjelmakan gol ala Diego Maradona sebelum dia mendapat layangan kad kuning daripada pengadil, Faizudin Ismail.

Bersambung separuh masa kedua, rakaman Video Bantuan Pengadil (VAR) menafikan peluang Penang mendapatkan tendangan penalti selepas bola yang dikawal Nabil dikatakan terkena tangan seorang pemain Kedah pada minit ke-55.

Pemain tengah tuan rumah, Syamer Kutty mendapat peluang melakukan sepakan percuma pada minit ke-67 namun sepakannya dari luar kotak penalti dikuis keluar Kalamullah.

Pada minit ke-70 Nafuzi mengeluarkan Fadzrul Danel, Milos Gordic, Wan Amirul Afiq digantikan dengan Syafiq Ahmad, Ebenezer Assifuah dan Kamil Akmal.

Kemasukan Assifuah ternyata tidak sia-sia apabila import Ghana itu berjaya meledak gol kemenangan KDA FC hasil lorongan kemas bekas tonggak skuad kebangsaan, Shafiq Ahmad pada minit ke-77.

Penang terdesak mencari gol penyamaan namun terpaksa kecewa di laman sendiri di hadapan 8,122 penonton yang membanjiri Stadium Bandaraya hari ini.

sumber:- HM

Pasukan Sang Kenari akan sekali lagi turun ke Stadium Bandaraya 28 Jun ini untuk aksi suku akhir pertama Piala FA dan kemudian melayan kunjungan Harimau Kumbang di Stadium Darul Aman pada 5 Julai untuk perlawanan suku akhir kedua.