Denmark menafikan hasrat England untuk layak awal ke pusingan kalah mati apabila bangkit merakam keputusan seri 1-1 dalam aksi Kumpulan C Euro 2024 di Frankfurt Arena.
England bermula baik apabila Harry Kane meletakkan pasukan kendalian Gareth Southgate di depan pada minit ke-18 selepas mendapat hantaran Kyle Walker.
Denmark mula menggandakan asakan dan akhirnya kembali menyamakan kedudukan selepas rembatan Morten Hjulmand pada minit ke-34 gagal diselamatkan penjaga gol England, Jordan Pickford.
Ia adalah kali pertama England dibolosi pada peringkat kumpulan Euro sejak jaringan penyerang Wales, Gareth Bale ketika edisi 2016.
Bermula babak kedua, England yang memerlukan kemenangan untuk menemani tuan rumah, Jerman ke pusingan 16 terakhir, hampir menambah jaringan menerusi Phil Foden pada minit ke-56, tetapi rembatan pemain Manchester City itu terkena tiang.
Pada minit ke-71, Ollie Watkins yang masuk menggantikan Kane, berjaya melepasi perangkap ofsaid dan hanya berdepan Kasper Schmeichel, tetapi gagal menewaskan penjaga gol Denmark itu.
Keputusan seri itu menyaksikan England masih mendahului kumpulan dengan empat mata, diikuti Denmark dan Slovenia yang berkongsi dua mata, dengan Serbia di tangga keempat pada satu mata.
Saingan Kumpulan C masih terbuka dengan kemenangan pada perlawanan terakhir akan membuka peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.
sumber:- BH
England akan bertemu Slovenia, manakala Denmark menentang Serbia pada awal pagi Rabu. – AGENSI