Switzerland semakin hampir untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati Euro 2024 selepas seri 1-1 menentang Scotland dalam aksi Kumpulan A.
Scotland bermula baik apabila membuka jaringan menerusi Scott McTominay, selepas rembatannya terkena kaki pemain Switzerland, Fabian Schar dan menerjah gawang pada minit ke-13. Namun gol berkenaan disahkan sebagai jaringan McTominay.
Switzerland kembali menyamakan kedudukan apabila kesilapan pertahanan Scotland membolehkan Xherdan Shaqiri meledak gol penyamaan pada minit ke-26.
Di babak kedua, benteng Switzerland berjaya menahan asakan bertali arus Scotland, terutama menerusi gerakan Andy Robertson dan McTominay.
Switzerland turut mempunyai peluang apabila serangan balas pantas menemui pemain gantian, Breel Embolo yang kemudian menjaringkan gol, namun jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.
Kedudukan 1-1 kekal hingga wisel penamat. Switzerland kini menghuni tangga kedua kumpulan pada empat mata, manakala Scotland ketiga pada satu mata dan masih berpeluang untuk mara ke pusingan 16 terakhir.
Jerman mendahului Kumpulan A dengan enam mata selepas menewaskan Hungary, yang berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
sumber:- BH
Switzerland akan bertemu Jerman pada perlawanan terakhir awal pagi Isnin manakala Scotland menentang Hungary. – AGENSI