sukan

Euro 2024: Croatia dalam bahaya

Kegagalan Croatia mengutip mata penuh apabila diikat Albania 2-2 menerusi jaringan minit akhir sudah pasti mengecewakan pasukan itu yang terus buntu memburu kemenangan di Euro 2024.

Keputusan di Volksparkstadion itu menyaksikan skuad bimbingan Zlatko Dalic berdepan laluan sukar untuk memburu slot ke pusingan kalah mati dengan Itali bakal menjadi lawan terakhir mereka di peringkat kumpulan.

Namun pemain tengahnya, Luka Sucic tetap optimis dengan kemampuan pasukan itu untuk melepasi peringkat kumpulan dan menuntut rakan sepasukannya untuk bangkit bagi aksi penting itu nanti.

“Sudah tentu kami kecewa kerana keputusan seperti ini tidak seharusnya berlaku untuk pasukan seperti kami. Kami mendahului dan sepatutnya dapat menamatkan perlawanan dengan tenang tetapi ini satu pengajaran yang perlu dipelajari.

“Aksi lebih baik ditunjukkan pada separuh masa kedua dan inilah arah bagaimana untuk kami bermula menentang Itali nanti.

“Saya percaya dengan kualiti yang kami ada. Saya seorang yang optimis dan kalau kami dapat beraksi seperti separuh masa kedua, sudah tentu kami dapat melepasi peringkat kumpulan,” kata Sucic.

sumber:- BH

Selepas terikat 2-2 dengan Albania, Croatia kini menghuni tangga tercorot Kumpulan B, diketepikan Albania menerusi perbezaan jaringan. – REUTERS