Rembatan pemain remaja, Arda Guler membantu Turkiye menewaskan Georgia 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan F Euro 2024 di Signal Iduna Park.
Perlawanan yang dianggap paling menarik setakat ini, menyaksikan jaringan-jaringan hebat dan aksi mendebarkan sehingga ke hujung permainan.
Turkiye menguasai permainan tetapi benteng pertahanannya sering terdedah dan terpaksa bekerja keras menghalang asakan Georgia, dengan penjaga gol, Samet Akaydin beberapa kali menyelamatkan gawang Turkiye.
Mert Muldur meletakkan Turkiye di depan pada minit ke-25 dan Kenan Yildiz menambah jaringan sejurus kemudian, tetapi dibatalkan kerana ofsaid.
Georgia, yang beraksi di kejohanan major pertamanya, meledak gol penyamaan menerusi Georges Mikautadze pada minit ke-32, selepas mendapat hantaran Giorgi Kochorashvili.
Pemain Real Madrid berusia 19 tahun, Guler kembali meletakkan Turkiye di depan dengan rembatan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-65.
“Saya sangat teruja, tidak ada kata-kata dapat menggambarkan perasaan saya. Saya mengimpikan jaringan ini setiap masa.
“Saya sering berlatih melakukan sepakan ini di akhir sesi latihan. Saya sangat gembira dapat menjaringkan gol dengan cara ini,” kata Guler yang dinobatkan pemain terbaik perlawanan.
sumber:- BH
Georgia cuba mencari gol penyamaan sehingga akhir permainan dengan penjaga golnya, Giorgi Mamardashvili turut naik ke atas, tetapi serangan balas Turkiye menghasilkan gol ketiga menerusi Kerem Akturkoglu. – REUTERS