Christian Eriksen menjaringkan gol untuk Denmark ketika meraih keputusan seri 1-1 dengan Slovenia pada aksi Euro 2024 sebentar tadi, hampir tiga tahun sejak dia hampir mati dalam perlawanan pembukaan membabitkan pasukannya pada edisi lalu.
Pemain tengah Manchester United itu meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-17 di hadapan stadium Stuttgart yang dipenuhi penyokong Denmark.
Tetapi gol penyamaan lewat permainan oleh Erik Janza menyaksikan Slovenia membawa pulang satu mata dalam penampilan pertama mereka di Euro sejak tahun 2000.
Denmark akan menentang England dalam perlawanan kedua Kumpulan C di Frankfurt pada Jumaat ini manakala Slovenia meneruskan kempen menentang Serbia di Munich.
“Gembira dapat menjaringkan gol, ia hadir tepat pada masanya,” kata Eriksen yang dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan.
“Kami ada berbincang untuk menjaringkan gol menerusi set piece dan kami berjaya melakukannya, malangnya lawan dapat menyamakan kedudukan,” katanya lagi.
Denmark yang mara ke separuh akhir kejohanan Euro 2020 sebelum tewas kepada England, mengharungi detik cemas di Copenhagen selepas Eriksen rebah di atas padang akibat mengalami serangan jantung.
Dia akhirnya dapat meneruskan kariernya selepas dipasang dengan defibrilator kardioverter yang boleh diimplan sekali gus menyaksikannya membuat penampilan kembali bersama skuad kebangsaan sembilan bulan kemudian dan muncul di Piala Dunia 2022.
sumber:- HM
Menjelang perlawanan pembukaan Euro 2024 Denmark, Eriksen berkata dia tidak mahu terus memikirkan insiden itu, sebaliknya berhasrat untuk memberi tumpuan membantu negaranya mara sejauh mungkin di Jerman.