sukan

Euro : Pemain Albania pecah rekod gol terpantas

Pemain Albania, Nedim Bajrami meledak gol selepas hanya 23 saat dalam perlawanan Euro 2024 menentang Itali, sebentar tadi dan menjadi gol terpantas pernah dijaringkan dalam Kejuaraan Eropah.

Bajrami meleburkan rekod Euro sebelum ini bagi gol terpantas dalam tempoh 67 saat yang diledak pemain Russia, Dmitri Kirichenko ketika menentang Greece pada 2004.

Bajrami yang bermain di Itali untuk kelab Sassuolo menerkam lontaran ke dalam lemah yang dilakukan pemain Itali, Federico Dimarco sebelum melepaskan rembatan yang menerjah jaring dalam perlawanan Kumpulan B menentang penyandang juara kejohanan itu.

Bagaimanapun, Itali bertindak pantas untuk menyamakan kedudukan menerusi Bastoni pada minit ke-11 sebelum Nicolo Barella meledak gol kemenangan Azzurri pada minit ke-16.

Antara senarai gol terpantas pada kejohanan itu adalah jaringan Luke Shaw untuk England ketika menentang Itali pada perlawanan akhir Euro 2020 di Wembley tiga tahun lalu.

sumber:- BH

Shaw menjaringkan gol selepas hanya satu minit dan 56 saat untuk menjadi jaringan keenam terpantas dalam pertandingan itu. Itali bagaimanapun bangkit untuk memenangi perlawanan akhir itu menerusi penentuan penalti. – AFP