sukan

Euro : Keputusan aksi Switzerland berdepan Hungary

Switzerland bermula cemerlang di Euro 2024 apabila Kwadwo Duah dan Michel Aebischer menjaringkan gol antarabangsa pertama mereka ketika menewaskan Hungary 3-1.

Skuad kendalian Murat Yakin mendahului dua gol pada separuh masa di Cologne untuk memulakan kempen Kumpulan A mereka dengan cara yang mengagumkan.

Duah membuka jaringan hanya dalam penampilan antarabangsa keduanya selepas membuat penampilan sulung awal bulan ini.

Pemain kelahiran London berusia 27 tahun yang bermain untuk kelab Bulgaria, Ludogorets Razgrad itu memegang dua kerakyatan, Ghana dan Switzerland pasti lega kerana dia memilih untuk mewakili skuad itu selepas persembahan baik mereka.

Selepas membantu gol pembukaan Duah, pemain tengah Bologna, Aebischer menjaringkan gol sulungnya bersama Switzerland menerusi rembatan jarak jauh sebelum rehat.

Jaringan ketujuh Barnabas Varga dalam sembilan penampilan sebagai pemain utama Hungary mencetus aksi segit di penghujung perlawanan, namun Breel Embolo meledak gol pada masa kecederaan untuk memastikan tiga mata buat Switzerland.

“Saya menyamakan bola sepak dengan catur dan hari ini kami menerapkan taktik yang betul. Kami menggunakan formasi ini atas sebab tertentu,” kata Yakin.

“Kami memberi tumpuan untuk menggunakan kekuatan kami sepenuhnya dan meletakkan lawan dalam keadaan yang sukar pada separuh masa pertama.”

sumber:- BH

Susulan laporan mengenai perbalahan antara Yakin dan pemainnya berhubung taktik, kapten Switzerland, Granit Xhaka, semalam menjelaskan bahawa perkara itu sudah diselesaikan tepat pada masanya untuk Euro 2024. – AFP