sukan

Sah dihukum penjara

Tiga penyokong Valencia dihukum penjara oleh mahkamah Sepanyol kerana menghina pemain Real Madrid, Vinicius Jr.

Penghinaan berbaur perkauman ditujukan kepada Vinicius ketika aksi La Liga di Stadium Mestalla, Valencia pada 21 Mei, 2023.

Penyokong berkenaan didapati bersalah di atas dakwaan “jenayah integriti moral” dan “mencetus diskriminasi perkauman”.

Hukuman awal 12 bulan penjara dikurangkan kepada lapan bulan selepas persetujuan dicapai di awal peringkat siasatan.Tertuduh juga dilarang daripada memasuki mana-mana stadium bola sepak yang menampilkan aksi La Liga atau sebarang perlawanan di bawah naungan Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) untuk tempoh dua tahun.

Bintang Brazil, Vinicius menyertai La Liga, Real Madrid dan RFEF dalam membawa kes berkenaan ke muka pengadilan.Presiden La Liga, Javier Tebas berkata: “Keputusan ini adalah berita baik untuk perjuangan menentang perkauman di Sepanyol.

“Ia satu pembelaan buat Vinicius Jr yang menjadi mangsa serta pengajaran buat mereka yang pergi ke stadium untuk menghina.

“La Liga akan mengenal pasti mereka, melaporkan mereka, dan akan ada tindakan undang-undang.

“Saya faham ada kekecewaan kerana tempoh yang diambil untuk membuat keputusan ini, tetapi ia membuktikan Sepanyol adalah negara yang menjamin integriti kehakiman.

“Kami di La Liga menghormati perjalanan pengadilan, tetapi sekali lagi kami menuntut badan undang-undang Sepanyol memberikan La Liga kuasa untuk mempercepat perjuangan melawan perkauman.”

Real Madrid dalam satu kenyataan berkata: “Tiga tertuduh menerima keputusan berkenaan dan mengeluarkan permohonan maaf kepada Vinicius Junior, Real Madrid dan semua yang terkesan dengan tindakan mereka.

“Ini adalah hukuman pertama yang dikeluarkan mahkamah jenayah untuk tingkah laku sebegini.

sumber:- BH

“Real Madrid, yang bekerjasama dengan Vinicius Junior dalam pendakwaan ini, akan terus berusaha melindungi nilai-nilai kelab ini dan menentang sebarang unsur perkauman dalam dunia sukan dan bola sepak.” – AGENSI