sukan

Kelayakan Piala Dunia: Palestin lakar sejarah besar

Palestin mencipta sejarah apabila mereka menempah tempat ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia buat pertama kali selepas seri tanpa jaringan menentang Lubnan di Doha.

Ketika rakyat negara itu berterusan menjadi mangsa pembvnuhan beramai-ramai pengganas Zionis di Gaza, pasukan bola sepak Palestin terus fokus mencipta sejarah tahun ini dengan tampil buat kali pertama di peringkat kalah mati Piala Asia.

Palestin hanya memerlukan satu mata daripada aksi bertemu Lubnan untuk mara dari Kumpulan I, dan mereka memperolehnya walaupun cuba dihalang oleh lawan yang mengutip tujuh kad kuning.

Ia juga adalah kali keempat berturut-turut Palestin layak ke Piala Asia, yang akan diadakan di Arab Saudi pada tahun 2027.

Skuad kendalian Makram Daboub akan bertemu Australia pada 11 Jun. The Socceroos menewaskan Banglandesh 2-0 di Dhaka.

Sebelum itu, pemain Paris Saint-Germain, Lee Kang-in dan bintang Tottenham, Son Heung-min masing-masing meledak dua gol ketika Korea Selatan membelasah Singapura 7-0.

Sementara itu, legenda bola sepak India, Sunil Chhetri membuat penampilan ke-151 dan terakhirnya untuk negara ketika seri 0-0 menentang Kuwait di Kolkata.

Pemain 39 tahun itu menamatkan karier antarabangsanya dengan 94 gol sepanjang dua dekad lalu – hanya di belakang Cristiano Ronaldo, Ali Daiei dan Lionel Messi dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman. – AFP