Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sudah bersedia untuk memasuki gelanggang bertemu juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan ONE Championship di Impact Arena, Bangkok, esok.
Bagi Johan, Tran Duy Nhat sememangnya berpengalaman luas di gelanggang selain mempunyai kepantasan namun itu bukan alasan untuk ‘menyerah kalah’ memandangkan dirinya turut memiliki kelebihan sebagai petinju muda yang penuh semangat.
Johan,18, yang lebih mesra disapa Jojo turut berkata, pihaknya turut melakukan analisis video serta persiapan intensif sejak tiga bulan lalu bagi mengkaji corak permainan Tran Duy Nhat yang berusia 35 tahun.
“Rasanya, Tran Duy ini adalah lawan paling sukar dalam bidang muay thai. Dia tak senang, dia tak susah. Dia seorang berpengalaman, sudah berusia… jadi banyak pengalaman, laju, banyak skil dan sudah biasa bertemu lawan yang lebih kuat.
“Itu kelebihan yang dia miliki tetapi saya juga mempunyai kelebihan, lebih muda dan ada hati (berjiwa muda),” kata Jojo yang dalam masa sama turut akan mengintai peluang untuk cuba menumbangkan lawannya itu seawal pusingan pertama lagi.
“Tak pasti (untuk tewaskan di pusingan pertama). Lawan seperti Tran Duy ini berpengalaman luas. Jadi kalau di pusingan pertama itu, agak susah sikit tetapi saya akan guna kelebihan ‘jiwa muda’ ini untuk buat dia penat dan ‘makan’ dia (di pusingan kedua atau ketiga).
“Sudah tentu, kalau ada peluang (tewaskan lawan di pusingan pertama), saya akan ambil sebaiknya,” katanya.
Pertarungan kali ini turut menawarkan bonus prestasi sebanyak AS$50,000 (RM235,332.68) kepada pemenang jika melepasi syarat ditetapkan.
Pada Oktober tahun lalu, Johan mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship.
sumber:- BH
Berdasarkan rekod kemenangan 5-0 termasuk empat menerusi kiraan knockout (KO) sepanjang saingan musim lalu, Johan turut diangkat sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship.