sukan

Sepanyol berpesta gol

Pemain tengah, Mikel Oyarzabal yang dimasukkan dari bangku simpanan menjaringkan hatrik pada separuh masa kedua untuk membantu Sepanyol meraih kemenangan 5-0 ke atas Andorra dalam perlawanan pemanas badan sebelum Euro 2024.

Pengurus Sepanyol, Luis de la Fuente melakukan banyak perubahan, mendominasi perlawanan sejak dari awal namun bergelut memecah kebuntuan gol pada separuh masa pertama biarpun berdepan lawan yang turun dengan rekod 15 perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Bekas penyerang Newcastle United dan Leicester City, Ayoze Perez yang membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsanya pada usia 30 tahun, memberikan tuan rumah pendahuluan pada minit ke-24 sebelum rehat.

Dia sentiasa menjadi ancaman tampak berusaha keras untuk mendapatkan tempat dalam skuad 26 pemain terakhir yang akan diumumkan oleh De la Fuente Sabtu ini.

Oyarzabal dari Real Sociedad, salah satu daripada empat pemain gantian ketika rehat, melebarkan kedudukan pada minit ke-53, 66 dan 73 untuk melengkapkan hatriknya.

“Ia penampilan sulung idaman. Menjaringkan gol dan membantu yang lainnya sangat hebat, saya gembira.”Saya cuba mencari peluang dalam setiap sesi latihan dan permainan. Sekarang terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan terbaik bagi pasukan,” kata Ayoze, yang meledak lima gol dalam tujuh penampilan terakhir untuk Real Betis musim ini.

Ferran Torres menjaringkan gol kelima Sepanyol ketika permainan berbaki lapan minit menerusi serangan balas.

sumber:- HM

Sepanyol akan berdepan Ireland Utara pada kasi pemanas badan terakhir Sabtu ini sebelum memulakan kempen Euro menentang Croatia pada 15 Jun dalam aksi Kumpulan B yang turut menampilkan Itali serta Albania.