sukan

Terbuka Indonesia: Keputusan aksi Vivian-Chiew Sien

Beberapa kesilapan mudah menyebabkan beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien terpaksa akur apabila tewas straight set kepada pasangan dari Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 17-21, 18-21 dalam pusingan pertama Terbuka Indonesia, hari ini.

Bagi Vivian, meskipun pihak lawan tidak bermain begitu pantas kerana ada yang mengalami kecederaan namun mereka masih gagal menggunakan peluang itu untuk memenangi perlawanan.

“Saya rasa hari ini (semalam) memang banyak kesilapan. Semuanya kesilapan sendiri. Saya rasa pihak lawan mungkin ada satu yang tercedera. Jadi memang kita ada sedikit kurang fokus dalam permainan tadi,” katanya.

Sementara itu, Chiew Sien pula bersetuju bahawa mereka banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya selain Nga Ting-Pui Lam bijak mengawal gelanggang serta tempo permainan dengan begitu baik.

“Mereka punya kualiti sangat bagus dan pukulan bola yang sangat kuat. Saya rasa mereka ini pun lebih fokus sebab satu sudah tercedera. Jadi mereka punya kualiti lebih bagus mengawal gelanggang kerana tidak boleh kurang bermain pantas (ada yang tercedera). Jadi saya rasa kita pun ada tidak bersedia untuk itu,” katanya.

Terdahulu, dalam perlawanan itu, pasangan negara itu cuba bangkit selepas tewas di set pertama dan di set kedua kesilapan ketika penghujung permainan menyebabkan mereka terpaksa akur kekalahan itu dan gagal untuk mara ke pusingan kedua.

sumber:- HM

Mengikut rekod pertemuan, kedua-dua pasangan itu sudah bertemu sebanyak tiga kali dan kesemua kemenangan itu memihak kepada Nga Ting-Pui Lam.