sukan

Taktikal Guardiola terbaik hadap Kyrgyzstan

Skuad Harimau Malaya bertandang ke gelanggang Kyrgyzstan, malam esok dengan membawa misi besar untuk mengejutkan skuad The White Falcons buat kali kedua dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Beraksi di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, Harimau Malaya yang berada di ranking 138 dunia wajib menewaskan lawan di tangga 100 dunia untuk terus menghidupkan peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket automatik ke Piala Asia 2027.

Seandainya tewas, peluang skuad negara boleh dikatakan tertutup kerana berdasarkan perkiraan atas kertas, Oman dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Taiwan walaupun beraksi di gelanggang lawan.

Tidak dinafikan tugas sukar bakal dihadapi Harimau Malaya terutama beraksi di gelanggang lawan selain hadir dengan skuad yang dikatakan tempang selepas beberapa tonggak penting dibelenggu masalah kecederaan.

Ketiadaan penjaga gol utama Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, dua pemain sayap Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi selain penyerang Romel Morales serta Darren Lok menimbulkan persoalan mengenai nasib skuad negara dalam perlawanan itu.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin bagaimanapun menganggap tiada yang mustahil buat Harimau Malaya untuk mencipta keputusan positif dengan anak buah Pan Gon pernah mengalahkan Kyrgyzstan dalam aksi sulung Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November tahun lalu.

Beliau berkata, kini terpulang kepada Pan Gon untuk membentuk ramuan terbaik berdasarkan adunan pemain muda dan berpengalaman dalam usaha membawa pulang keputusan positif dari Bishkek.

“Harimau Malaya boleh ambil contoh gaya permainan diterapkan Pep Guardiola yang bermain tanpa penyerang, dia gunakan pemain tengah sebagai penyerang dan boleh capai kejayaan.

“Tak mustahil walaupun tanpa penyerang kerana tak semestinya gol dijaringkan oleh penyerang sahaja. Pemain pertahanan dan tengah pun boleh jaringkan gol.

“Perancangan semua terletak di tangan Pan Gon. Ini adalah ujian paling getir untuk Pan Gon yang mana dengan pemain yang ada dia kena olah untuk dapatkan keputusan terbaik,” katanya kepada BH Sukan.

Harimau Malaya kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan dan Oman yang menghuni dua kedudukan teratas.

Selain itu, Sulaiman menganggap peluang untuk Harimau Malaya mencipta kemenangan tetap ada meskipun kelebihan lebih terarah kepada Kyrgyzstan terutama beraksi di gelanggang sendiri.

“Kelebihan kepada Kyrgyzstan mengikut prestasi semasa selain beraksi di tempat sendiri. Namun, apabila Harimau Malaya bermain sebagai ‘underdog’, mungkin akan meredakan tekanan dan pasukan boleh bagi persembahan terbaik untuk capai kemenangan.

sumber:- BH

“Apa yang pasti kita tak boleh bermain terlalu terbuka di Kyrgyzstan dan paling penting bahagian pertahanan kena sentiasa fokus supaya tidak bolos. Kita kena lebih sabar dalam perlawanan itu dan mencari masa yang sesuai untuk menjaringkan gol,” katanya.