sukan

Wei Chong-Kai Wun Rekod pencapaian terbesar selepas kejutkan Juara Dunia

Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun merekodkan antara kemenangan terbesar dalam kerjaya mereka apabila menumbangkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia, sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-20 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 20-22, 21-16, 21-17 ke atas lawan yang menghuni ranking nombor tiga dunia berkenaan pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta.

Ini adalah kali pertama Wei Chong-Kai Wun menang ke atas Min Hyuk-Seung Jae selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini di final Masters Malaysia dan Terbuka Korea, tahun lalu.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini kerana ini adalah kemenangan terbesar dalam kejohanan Super 1000. Kami bermain dengan sangat baik dalam perlawanan ini.

“Sebelum ini kami tewas dua kali tetapi tetap beri tentangan cuma kali ini kami tiada tekanan kerana bermain sebagai underdog.

“Pada pertengahan perlawanan kami bincang sesama sendiri dan jurulatih sekali gus ada pemikiran yang lebih jelas. Kami akan buat persiapan terbaik untuk perlawanan seterusnya,” kata Wei Chong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Wei Chong-Kai Wun berjaya melepasi pusingan pertama kejohanan Super 1000 sejak dua tahun menyertainya

Mereka akan bertemu pemenang perlawanan antara gandingan Denmark, Rasmu Kjaer-Frederick Sogaard dengan beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi bagi perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini.

Sementara itu, nasib berbeza dialami satu lagi beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Terbuka Indonesia.

sumber:- BH

Bagaimanapun, gandingan muda negara itu memberi tentangan sengit kepada juara Olimpik dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin apabila mengheret aksi sehingga set penentuan sebelum tunduk 21-18, 16-21, 17-21.