sukan

Pilihan Kim Pan Gon jadi tumpuan

Jentera serangan Harimau Malaya menjadi tumpuan utama menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, Khamis ini.

Ia susulan ketiadaan beberapa pemain tonggak termasuk penyerang naturalisasi, Romel Morales, Darren Lok dan Syafiq Ahmad kerana masalah kecederaan.

Malah, dua pemain sayap yang menjadi nadi penting buat Harimau Malaya sebelum ini, Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi turut berada dalam senarai pemain cedera juga tiada dalam skuad Kim Pan Gon.

Situasi berkenaan menyaksikan perubahan terpaksa dilakukan pengendali dari Korea Selatan itu di bahagian serangan apatah lagi Harimau Malaya perlu bermain dengan corak menyerang bagi menjayakan misi wajib menang ke atas Kyrgyzstan.

Ketika ini, pemain naturalisasi, Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dilihat menjadi antara calon yang bakal diletakkan sebagai penggempur utama skuad negara.

Berdasarkan pengalaman bersama skuad senior di pentas antarabangsa, Josue mungkin menjadi harapan utama Pan Gon untuk menggalas peranan itu dengan dibantu dua pemain Terengganu, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid di bahagian sayap.

Terdapat kemungkinan juga ‘perubahan’ yang bakal dilakukan bekas pengendali Hong Kong itu nanti akan menyaksikan peranan untuk mendapatkan jaringan tidak hanya tertumpu kepada bahagian serangan sahaja.

Mengimbas kembali kemenangan 4-3 Harimau Malaya ke atas Kyrgyzstan dalam aksi pertama Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November tahun lalu, dua daripada gol skuad negara disumbangkan tonggak pertahanan, Dion Cools.

Pemain Buriram United itu meledak dua gol yang berpunca daripada sepakan sudut dan perkara itu boleh dipertimbangkan barisan kejurulatihan skuad negara untuk mencari gol menerusi situasi bola mati di gelanggang Kyrgyzstan.

Beberapa pakar termasuk bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan dan bekas pemain negara, Azlan Johar juga menyifatkan Pan Gon mempunyai ramuan tersendiri untuk membentuk gandingan Harimau Malaya terutama di bahagian serangan.

“Setiap jurulatih mempunyai perancangan masing-masing dan dia akan mengkaji pasukan lawan, dari situ dia akan menerapkan taktikal dan siapa pemain yang patut diturunkan dalam perlawanan itu,” kata Wan Jamak.

sumber:- BH

Namun, apa yang mengecewakan ketiadaan Arif Aiman kerana keempat-empat jaringan Harimau Malaya termasuk gol sendiri Khristiyan Brauzman dan jaringan kemenangan yang diledak Faisal Halim berpunca dari gerakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.