sukan

Saya telah ditipu — Pei Jing

PEMAIN beregu campuran negara, Lai Pei Jing berdepan tamparan hebat apabila menjadi mangsa sindiket penipuan (scam) yang mengakibatkannya kehilangan hampir semua wang simpanan.

Dalam catatan media sosialnya, pemain profesional berusia 31 tahun itu berkongsi insiden malang tersebut dan berharap ruang diberikan kepada beliau bersama keluarga untuk bertenang.

“Pertama sekali, kepada saudara-mara dan rakan-rakan saya yang melihat siaran ini, sama ada anda ingin tahu atau prihatin, sila berikan saya dan keluarga saya ruang peribadi untuk menangani emosi kami.

“Tolong beri kami masa untuk memproses segala-galanya, terutamanya ibu saya. Terima kasih,” katanya.

Dalam hantaran sama, Pei Jing mengakui telah ditipu hampir semua wang simpanannya oleh sindiket penipuan.

“Sejujurnya, ini merupakan tamparan yang amat berat kepada saya. Simpanan titik peluh saya hasil kerja keras selama berdekad-dekad.

“Ia memerlukan keberanian yang tinggi untuk bercakap tentang ditipu kerana siapa yang mahu memberitahu orang lain bahawa mereka ditipu dengan sedemikian cara bukan?

“Apabila saya telah menyesuaikan diri dengan situasi itu, saya akan berkongsi lebih lanjut mengenainya. Saya berharap dapat mengelakkan lebih ramai mangsa dan juga memaksa diri saya untuk menerima hakikat bahawa saya telah ditipu,” tulis pemain itu.