sukan

Rexy memang sudah jangka

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tidak terkejut melihat prestasi beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tewas kepada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen straight set 10-21, 14-21 di suku akhir Terbuka Singapura.

Jelasnya, beliau menyedari persembahan mereka terutama Wooi Yik agak goyah di kejohanan itu dan sering melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga membenarkan lawan mendapatkan mata mudah dan memenangi perlawanan itu.

“Aaron Chia- Wooi Yik memang dari pusingan pertama saya tengok terutama sekali Wooi Yik punya permainan, sangat kelam kabut, dia main macam tak ada perancangan.

“Kekuatan dia tak jadi, tak nampak (permainannya) dan di dalam gelanggang jadi kelam kabut. Malah sewaktu melakukan smash, pergerakan badan dan bermain di depan gelanggang juga kelam kabut.

“Pasangan Denmark bermain cukup baik dalam perlawanan itu (suku akhir). Biarpun di ajak bermain pantas tetapi mereka tetap bermain dengan penuh kesabaran untuk memenangi perlawanan tersebut,”katanya.

Selain itu, Rexy juga meyatakan persembahan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tidak begitu bagus sementara beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula perlu cepat membuat keputusan semasa berada di dalam gelanggang dan harus lebih banyak bersabar dalam permainan.

“Pearly-Thinaah memang persembahan mereka sangat jauh dari jangkaan. Tang Jie-Ee Wei mereka perlu lebih dewasa untuk jadi pemain 10 terbaik dunia. Jangan terlalu bergantung kepada arahan jurulatih bagi semasa di dalam gelanggang.

“Mereka perlu tahu apabila berdepan dengan situasi tertentu, mereka perlu lakukan dengan baik (membuat keputusan). Contoh sewaktu mendahului 15-9 (lawan pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung di suku akhir), apabila hilang satu point, mereka mula bermain untuk matikan bola itu dengan cepat, tak pelbagai rentak permainan,” kata Rexy.

Namun begitu, beliau memuji persembahan pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang menampilkan aksi cemerlang di kejohanan berkenaan.

Tambahnya, beliau akan berjumpa dengan setiap pemain dan akan bercakap dari hati ke hati untuk membantu meningkatkan kembali semangat juang serta keyakinan pemain agar mereka dapat menampilkan persembahan lebih cemerlang pada kejohanan seterusya.

Untuk makluman, pemain negara akan meneruskan perjuangan di Terbuka Indonesia yang akan bermula pada 4 hingga 9 Jun ini dan ini adalah platform terbaik bagi pemain terutama mereka yang akan beraksi di Olimpik Paris nanti bagi menguji kekuatan serta tahap prestasi mereka.

sumber:- HM

Hal ini kerana hampir kesemua pemain yang akan beraksi di Paris nanti akan turun bermain sebagai persediaan terakhir sebelum melangkah ke temasya terbesar dunia itu.