sukan

Bintang Indonesia cipta sensasi di bumi Eropah

Tonggak pertahanan Indonesia, Jay Idzes berjaya membantu pasukannya, Venezia FC naik pangkat ke kancah Serie A musim depan selepas menematkan kempen Serie B di kedudukan ketiga.

Kejayaan itu hadir selepas Idzes, 24, berjaya merekodkan clean sheet tanpa bolos ketika Venezia menewaskan Cremonese 1-0 pada aksi timbal balik pusingan akhir playoff divisyen kedua Itali berlangsung di Stadio Pier Luigi Penzo awal pagi tadi.

Biarpun Cremonese lebih menguasai perlawanan dengan melakukan 16 percubaan keseluruhan, tetapi benteng Venezia kekal ampuh dan memenangi aksi itu menerusi gol tunggal daripada penyerang Denmark, Christian Gytkjaer pada minit ke-24.

Idzes yang dilahirkan di Mierlo, Belanda itu berpotensi menjadi pemain Indonesia pertama beraksi di pentas Serie A menentang jaguh-jaguh handalan Itali seperti Inter dan AC Milan, Juventus, AS Roma dan banyak lagi musim depan.

Sebagai rekod, Idzes yang pernah beraksi dengan FC Eindhoven dan Go Ahead Eagels di Belanda, memilih untuk mewakili skuad kebangsaan Indonesia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Vietnam pada 21 Mac lalu yang menyaksikan dia berjaya meledak gol antarabangsa pertamanya dalam perlawanan itu.

Selain Idzes, Indonesia mempunyai seorang lagi pemain yang berpotensi beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan iaitu Elkan Baggot bersama Ispwich Town.

Bagaimanapun, masih belum ada kepastian sama ada pertahanan tengah berusia 21 tahun itu akan mendapat kepercayaan pengurus Ispwich, Kieran McKenna memandangkan dia dihantar beraksi secara pinjaman bersama Bristol Rovers musim lalu. – AGENSI