sukan

Kim Pan Gon bijak kendali ‘Awan hitam’ melanda

Di sebalik krisis kecederaan yang menyaksikan Harimau Malaya ‘tempang’ untuk mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) optimis pengendalinya, Kim Pan Gon bijak dalam mengendalikan ‘bala’ yang menimpa itu.

Skuad kebangsaan berdepan dugaaan besar dalam persiapan menghadapi Kyrgyzstan dan Chinese Taipei apabila hilang lima pemain di jentera serangan iaitu Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Romel Morales, Syafiq Ahmad dan Darren Lok.

‘Awan hitam’ terus menyelubungi kem negara apabila penjaga gol utama, Ahmad Syihan Hazmi turut disisihkan akibat kecederaan dan gawang negara kini bakal dikawal sama ada Azri Ab Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi ataupun Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi melontarkan kepercayaan barisan kejurulatihan diterajui Pan Gon pasti memiliki pelan sandaran selepas terpaksa melupakan khidmat ramai pemain utama susulan kecederaan bagi dua perlawanan ‘hidup dan mati’ itu.

“Masalah ini (krisis kecederaan) pasti berlaku dalam proses pembinaan pasukan dan perkara ini di luar kawalan kita. Bukan sahaja berlaku pada pasukan kita tetapi mungkin juga berlaku pada pasukan lain juga.

“Cuma sebagai jurulatih, Pan Gon semestinya sudah ada ‘back up plan’ kerana kita tidak boleh sekadar mengharapkan satu atau dua pemain. Apabila pemain itu tiada, kita akan tumbang atau tidak dapat capai kehendak kita.

“Sudah pasti kita percaya jurulatih akan menyusun strategi yang terbaik untuk menampung kekurangan dan kelemahan yang ada. Mungkin ada perubahan daripada sistem sedia ada jadi kita serahkan kepada perancangan Pan Gon,” kata Yusoff.

Justeru, Yusoff mengharapkan penyokong akan terus memberi sokongan moral kepada pemain untuk membakar semangat mereka dalam misi memburu kemenangan bagi dua perlawanan penting ini.

“Kita perlu sentiasa berada di belakang pasukan dan menunjukkan sokongan kepada pemain yang akan berjuang demi membawa maruah negara,” katanya.

Skuad kebangsaan akan terbang ke Bishkek, esok, untuk berdepan pasukan ranking ke-100 dunia, Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, pada Khamis.

sumber:- BH

Mereka kemudiannya akan pulang bagi perlawanan keenam bertemu pasukan di ranking ke-159 dunia, Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.