sukan

Harimau Malaya terus dilanda malang

Skuad Harimau Malaya terus ‘tempang’ selepas terpaksa melupakan khidmat penjaga gol utama dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi susulan kecederaan dialaminya.

Perkembangan itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menjelaskan kecederaan penjaga gol 28 tahun itu disahkan doktor pasukan terbabit.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon tidak memanggil pemain pengganti, sebaliknya kekal dengan tiga penjaga gol sedia ada iaitu Azri Ab Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Sebelum ini, skuad negara kehilangan khidmat lima pemain di jentera serangan susulan kecederaan iaitu Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Romel Morales, Darren Lok dan Syafiq Ahmad.

Bagaimanapun, skuad kebangsaan kian lengkap apabila enam pemain turun menjalani sesi latihan bersama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, malam ini.

Enam pemain terbabit adalah lima dari JDT iaitu Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Shahrul Saad, Feroz Baharudin dan Endrick dos Santos sementara seorang lagi pemain dari luar negara, Dion Cools.

Kem latihan pusat Harimau Malaya kini disertai 24 pemain dengan pemain Selangor FC (SFC), Nooa Laine akan menyertai pasukan pada Isnin, 3 Jun 2024 bagi melengkapkan 25 pemain yang akan terbang ke Bishkek, Kyrgyzstan pada Selasa.

sumber:_ BH

Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada Khamis, 6 Jun dan Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.