sukan

Komen Jurulatih berpengalaman selepas Malaysia raih kemenangan tipis

KEMENANGAN tipis Harimau Malaya 1-0 ke atas Perak FC dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat tidak mencerminkan gambaran sebenar persembahan skuad negara.

Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan berkata, tidak adil untuk menilai persembahan skuad kendalian Kim Pan-gon itu dalam perlawanan persahabatan tersebut berdasarkan kemenangan tipis itu.

Malah, beliau percaya ada sesuatu yang sedang dirangka Pan-gon dalam menghadapi dua aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

“Saya selalu berfikiran positif dalam sebarang keputusan. Apa yang berlaku menang, kalah atau seri mesti bersebab.

“Bagi saya, kemenangan tipis itu tidak mencerminkan kelemahan pasukan kita. Staf jurulatih ada pandangan mereka sendiri. Ia juga dijalankan secara tertutup dan kita tidak dapat tengok untuk nilai aksi sebenar.

“Saya yakin apa yang dibuat jurulatih adalah satu perancangan teliti untuk dia mencorakkan permainan dan nilai beberapa pemain baharu yang dibawa masuk,” katanya .

Dalam perlawanan itu, Malaysia hanya mampu meraih gol tunggal menerusi pemain pertahanan Daniel Ting dalam aksi yang berlangsung selama 70 minit.

Dalam pada itu, Wan Jamak juga percaya satu-satunya perlawanan persahabatan menentang Perak FC itu sangat berguna kepada Harimau Malaya walaupun peminat sudah tentu mahukan perlawanan membabitkan pasukan dari luar negara.

Menurutnya, semua pihak perlu memahami kesukaran untuk mencari perlawanan persahabatan dengan beberapa negara menolak pelawaan Malaysia.

“Kalau kita nak katakan standard (perlawanan persahabatan ini) dengan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, memang kita tahu jurang itu. Kita dah pernah melakukan kesilapan pada Piala Asia sebab kekurangan perlawanan persahabatan.

“Aksi dengan Perak ini sudah tentu satu perlawanan yang berguna untuk pasukan negara mencari rentak dan ruang Pan-gon mencari idea,” katanya.

sumber:- SH

Skuad negara bakal turun mengharungi dua baki aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek 6 Jun ini, sebelum bertemu Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari kemudian.