sukan

Keputusan aksi Malaysia berdepan Pakistan

Jaringan saat akhir Pakistan berjaya mengikat skuad hoki kebangsaan 4-4 pada aksi pembukaan Kumpulan B kejohanan Piala Negara-Negara di Gniezno, Poland, semalam.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara di bawah kendalian Sarjit Singh kempunan tiga mata penuh selepas selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Perlawanan di Stadium Hoki Nasional di Gniezno itu menyaksikan Speedy Tigers terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi tonggak tengah Mohammad Fitri Saari yang mengambil pukulan penalti strok.

Malaysia berhasil menggandakan kedudukan apabila penyerang negara Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak jaringan kedua pada minit ketujuh sebelum jaringan Faizal Saari menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-11, meletakkan Speedy Tigers di hadapan 3-0.

Memasuki separuh masa kedua, Pakistan merapatkan jurang apabila Abdul Rehman menyempurnakan jaringan padang pada minit ke-32, namun Mohammad Fitri berjaya menghadiahkan negara satu lagi jaringan menerusi pukulan penalti strok 10 minit kemudian.

Bagaimanapun Pakistan bangkit memperkemas permainan untuk mengikat Malaysia 4-4 menerusi jaringan disempurnakan Sufyan Muhammad Khan, Abdul Hanan Shahid dan Abu Mahmood pada minit ke-43, 52 dan 60 sebelum tamat perlawanan.

sumber:- BH

Bagi perlawanan seterusnya peringkat Kumpulan B, skuad negara dijadual bertemu Perancis pada Ahad dan Kanada, Rabu ini. – BERNAMA