sukan

Ayuh Safawi, Akhyar ‘tunjuk bukti’

Berdasarkan situasi semasa, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dilihat menjadi pilihan terbaik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim di bahagian sayap skuad Harimau Malaya.

Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus mengharapkan dua pemain yang kini berkelana di Terengganu FC (TFC) itu perlu meningkatkan lagi prestasi mereka apatah lagi mereka tampak bakal menjadi watak penting dalam dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 kali ini.

Tegasnya, aksi persahabatan tertutup menentang Perak FC yang menyaksikan skuad negara menang tipis 1-0 tidak seharusnya menjadi indikator sepenuhnya mengenai kemampuan dua pemain sayap itu dalam mengemudi jentera serangan negara.

“Pemain perlu segera menyesuaikan diri dengan perancangan jurulatih dan ini adalah proses yang perlu dilalui semua pemain. Kemampuan pemain itu sangat penting untuk dinilai oleh barisan kejurulatihan.

“Jurulatih (Kim Pan Gon) pun bukan baru jumpa Akhyar dan Safawi malah mereka juga antara ‘regular’ dalam skuad kebangsaan. Dengan mereka dijangka mendapat peranan utama dalam pasukan, maka mereka perlu terjemahkannya dan berikan impak kepada pasukan.

“Saya rasa mereka tidak ada masalah untuk mencipta persefahaman kerana mereka sudah lama dalam skuad kebangsaan. Cuma mungkin mereka perlu tingkatkan lagi pemahaman dari segi ‘tactical development’ dalam pasukan kebangsaan.

“Aksi persahabatan itu tidak cukup untuk mengukur kemampuan tetapi mereka juga tidak boleh selesa. Sebagai pemain yang sudah biasa dalam skuad kebangsaan, mereka perlu tunjukkan aksi yang lebih baik apatah lagi kita berdepan dua perlawanan penting selepas ini,” kata Fauzi.

Terdahulu, gandingan Safawi dan Akhyar mungkin belum begitu menjadi selepas skuad kebangsaan hanya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak FC dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jaringan tunggal skuad kebangsaan disumbangkan Daniel Ting pada minit ke-17 dan berdasarkan perkongsian gambar di laman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Safawi dan Akhyar turut beraksi dalam perlawanan terbabit.

Skuad negara ketika ini dalam rangka persiapan untuk Kelayakan Piala Asia 2026/ Piala Asia 2027 yang menyaksikan mereka akan berdepan pasukan di ranking ke-100 dunia, Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun ini.

Mereka kemudiannya akan terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu pasukan di ranking ke-159 dunia, Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

Sebagai rekod, dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu menyaksikan skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan selaku pendahulu dan Oman di tangga kedua.

sumber:- BH

Hanya dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih slot automatik ke Piala Asia 2027.