sukan

Pernah terjadi dalam sejarah bola sepak dunia

BAKI dua saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala ASia 2027 menjadi pentas terbaik buat duo penyerang Terengganu FC, Sapawi Rasid dan Akhyar Rashid untuk membuktikan sentuhan mereka masih berbisa bersama skuad kebangsaan.

Malah penganalisis sukan, Azlan Johar juga tidak terkejut dua rakan baik itu mungkin mampu kembali menggegar di pentas antarabangsa jika diberi peluang oleh jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk turun beraksi.

Beliau berkata, perkara tersebut pernah terjadi dalam sejarah bola sepak dunia apabila pemain yang jarang beraksi menyerlah di pentas dunia.

“Jangan terkejut, pemain gantian mampu beraksi lebih cemerlang kerana sebelum ini mereka tidak mendapat tempat, namun apabila diberi peluang mereka akan menunjukkan prestasi terbaik.

“Ia pernah berlaku, sejarah negara lain. Paolo Rossi tidak diturunkan ketika aksi persahabatan bersama Itali, namun ketika Piala Dunia pada edisi 1982 dia meledak enam gol,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Tanpa kelibat tonggak, Faisal Halim yang dalam proses pemulihan akibat simbahan asid dan kecederaan yang dialami pemain sayap, Arif Aiman Hanapi, skuad negara dilihat tiada pilihan yang banyak.

Pan-gon mengakui mengakui mungkin menaruh kepercayaan kepada Sapawi dan Akhyar untuk merobek gawang lawan dalam baki saingan kejohanan tersebut.

Azlan yang juga bekas pemain kebangsaan mengakui Sapawi ketika ini dilihat lebih matang dan mempunyai daya kepimpinan yang baik untuk dipertaruhkan bersama skuad Harimau Malaya.

“Selepas berkahwin, saya lihat Sapawi lebih matang dan berkaliber. Malah sebagai anak Terengganu yang kembali mewakili negeri sendiri dia diberi peluang memakai lilitan kapten.

“Jiwa dia (Sapawi) saya lihat lebih tenang. Apabila kita bersama keluarga, isteri dan anak, suasananya lain. Ia banyak membantu Sapawi untuk tampil lebih baik dan tenang dalam karier bola sepaknya,” katanya.

Skuad negara kendalian Kim Pan-gon bakal turun mengharungi dua baki aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek 6 Jun ini, sebelum bertemu Taiwan di SNBJ lima hari kemudian.

Menyentuh mengenai kemungkinan taktikal yang bakal diterapkan oleh jurulatih dari Korea Selatan itu, Azlan percaya Pan-gon bijak untuk mencatur strategi terbaik menerusi para pemain sedia ada.

Malah beliau juga optimis skuad Harimau Malaya akan menggunakan prinsip bola sepak dunia ‘menyerang adalah pertahanan yang baik’.

“Sampai bila kita mahu bertahan. Apabila bola berada di kaki, pemain perlu menyerang dan sudah pasti pasukan lawan juga ada melakukan kesilapan dan kesempatan itu adalah baik buat kita untuk meledak gol,” katanya.