sukan

Tak sangka Pan Gon ‘minat’ saya

Daripada menjadi pemain yang tidak dipandang tetapi kini pemain Penang FC, Adib Raop hanya selangkah untuk meraih penampilan pertama bersama skuad Harimau Malaya.

Pemain berusia 24 tahun itu menjadi antara taruhan baharu buat pengendali, Kim Pan Gon untuk mengharungi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Krygyzstan dan Taiwan.

Adib ketika ditemui berkata, dia sama sekali tidak menyangka persembahannya selama ini sering dipantau barisan kejurulatihan skuad kebangsaan dan kerja keras itu dibalas dengan panggilan ke kem kebangsaan buat pertama kalinya.

“Saya rasa bersyukur dan agak bangga dengan berita ini. Ibu bapa saya pun tidak pernah menyangka saya akan sampai ke sini (panggilan skuad kebangsaan) tetapi ini berkat usaha saya. Mereka juga berpesan supaya jangan tinggal solat.

“Saya tak sangka (Pan Gon pantau persembahan) kerana saya cuma bermain di Penang FC dan saya tidak rasa ada orang pandang saya. Apa yang penting, saya kena buat yang terbaik.

“Perkara lain (dipilih untuk beraksi) itu terpulang kepada barisan kejurulatihan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang tadi.

Skuad negara ketika ini dalam rangka persiapan untuk Kelayakan Piala Asia 2026/ Piala Asia 2027 yang menyaksikan mereka akan berdepan pasukan di ranking ke-100 dunia, Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun ini.

Mereka kemudiannya akan terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu pasukan di ranking ke-159 dunia, Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

Sebagai rekod, dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu menyaksikan skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan selaku pendahulu dan Oman di tangga kedua.

sumber:- BH

Hanya dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih slot automatik ke Piala Asia 2027.