sukan

Harap isu surat layan selesai

Selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) didapati ‘bersih’ daripada sebarang dakwaan membabitkan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) dan penyalahgunaan dana bagi Kongres FAM, badan induk itu kini mengharapkan isu surat layang dapat segera diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkata, isu itu perlu diselesaikan bagi memulihkan kredibiliti FAM selain mengembalikan keyakinan semua pemegang taruh FAM sbeagai badan induk bola sepak negara.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah sahkan bahawa tiada sebarang unsur rasuah dan salahguna kuasa di FAM. Siasatan bagi kedua-dua kes itu selesai dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan mereka berpuas hati dengan hasil siasatan SPRM.

“Jadi kes diputuskan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan bagi siasatan lanjut membabitkan punca surat layang, FAM membuka ruang seluasnya kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Siasatan untuk surat layang masih berjalan, jadi kita tidak boleh komen lanjut.

“Kalau saya komen nanti akan menganggu siasatan PDRM. Jadi biarlah PDRM selesaikan siasatan (isu surat layang) dan tampil dengan hasil dapatan mereka. Saya harap perkara itu dapat diselesaikan segera,” katanya.

Aseh berkata demikian pada sidang media selepas Seminar Integriti FAM di Wisma FAM, petang tadi.Dalam perkembangan sama, Aseh menyifatkan badan induk itu mengambil langkah proaktif bagi menambah baik urus tadbir FAM menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundram yang turut dianggotai beberapa pengurusan tertinggi FAM.

“Atas kesedaran sendiri, FAM menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi memastikan sama ada dakwaan dalam surat layang itu wujud dan benar ataupun hanya dakwaan semata-mata.

“Ini juga sebagai satu langkah untuk menambahbaik urustadbir FAM yang mana mereka melihat daripada segala sudut kalau ada ruang yang harus diperbaiki.

sumber:- BH

“Jika ada yang perlu diperbetul, maka ia diperbetul dengan segera kerana kita mahukan urustadbir FAM berada pada tahap yang terbaik,” katanya.