sukan

Peluang pemain jarang ‘muncul’ tunjuk belang

Skuad bola sepak kebangsaan akan tampil dengan status sebagai pasukan bukan pilihan apabila berdepan Kyrgyzstan di tempat lawan bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, 6 Jun ini.

Situasi itu diakui pemain Harimau Malaya, Declan Lambert namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk pulang dengan kemenangan memandangkan mereka pernah mengejutkan Kyrgyzstan di tempat sendiri, November lalu.

“Ini satu aksi yang mencabar apatah lagi kita harus meraih kemenangan di tempat lawan. Kita perlu menewaskan pasukan yang baik seperti Kyrgyzstan tetapi kita pernah menewaskan mereka sebelum ini.

“Ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan jadi pemain yang jarang mendapat peluang perlu memanfaatkan kesempatan ini sebaiknya dan bersedia untuk diturunkan.

“Sudah tentu akan ada tekanan tetapi turun sebagai pasukan pilihan kadang kala bagus. Mungkin pasukan lawan akan mengambil mudah perlawanan ini kerana krisis kecederaan yang kita hadapi ketika ini, jadi ini situasi yang baik untuk kami,” katanya.

Declan berkata demikian ketika ditemui pada hari kedua sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang tadi.

Sebagai rekod, dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu menyaksikan skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan selaku pendahulu dan Oman di tangga kedua.

Selepas menamatkan aksi di Bishkek, skuad negara akan pulang bagi perlawanan keenam berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun.

sumber:- BH

Dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih slot automatik ke Piala Asia 2027.