Kelmarin, hajat skuad sepak takraw negara untuk menamatkan kemarau kemenangan ke atas Thailand dalam acara berpasukan sejak 33 tahun lalu tidak kesampaian.
Ia selepas skuad kendalian Ahmad Jais Baharun yang diharapkan mampu mengakhiri penantian panjang di laman sendiri itu tewas 1-2 pada aksi final Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa.
Justeru, apakah formula terbaik untuk meleraikan kebuntuan itu dan ketika ditanya persoalan itu legenda emas Sukan SEA 1991, Abdul Malik Samsudin mempunyai ‘resipinya’.
Menurutnya, skuad negara kini hanya perlu menghasilkan ‘klon’ Mohammad Syahir Mohd Rosdi bagi memperkemaskan lagi posisi tekong skuad negara.
Berdasarkan pengamatannya di pentas final di Piala Dunia 2024, ‘resipi’ itu diyakini menamatkan dominasi dilihat Thailand dalam acara berpasukan selepas kali terakhir dilakukan oleh pasukan disertainya di Sukan SEA Manila 1991.
Katanya, Malaysia harus mula menghasilkan tekong yang mempunyai keupayaan seperti Syahir bagi mengimbangi kekuatan Thailand yang dibarisi beberapa pemain berkaliber di posisi berkenaan.
“Bagi saya, kita kena ‘proses’ tekong sahaja sekarang ini… yang lain boleh dikatakan OK. Jadi perlu cari atau tambah baik tekong yang (mempunyai prestasi) seperti Syahir untuk perkuatkan serangan.
“Bagi saya ini perlu sebagai persediaan ke Sukan Asia (Jepun 2026) yang sudah tentunya sukar untuk Thailand melepaskan kemenangan kepada kita. Jadi kita kena bersiap dari sekarang,” katanya.
Pada aksi final kelmarin, Syahir membuktikan servisnya mampu menghuru-harakan regu Thailand apabila beberapa kali servisnya mampu mengutip mata.
Walaupun tewas 9-15 pada set pertama, beliau yang bergandingan bersama Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam bangkit mencipta kemenangan 15-11 di set kedua sebelum menang 15-13 di set penentuan.
Bagaimanapun, regu kedua dibarisi Muhammad Haziq Hairul Nizam, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin gagal menyekat kekuatan trio Thailand, Wichan temkort, Kritsanapong Nontakote dan Pichet Pansan yang mencatat kemenangan 15-8, 15-5 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Zuhri Muhammad Zain serta Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican yang diberi tanggungjawab di posisi tekong untuk regu ketiga disertai Aidil Aiman Azwawi dan Baihakki A’ripin turut tidak berupaya untuk menyekat kekuatan Thailand yang mencatat kemenangan 15-12, 15-12 untuk menewaskan Malaysia 2-1.
sumber:- BH
“Kena persiapkan dari sekarang. Pasukan (Thailand) ini jugalah yang akan ke Sukan Asia nanti kerana mereka ini baharu digilap dan mungkin hanya Siriwat Sakha (tekong) yang tidak ada nanti. Dua lagi, Pornthep (Tinbangbon) dan Sittipong (Khamchan) sudah tentunya ada (dalam pasukan),” kata Malik.