sukan

Manchester City sepatut dapat Penalti (Video)

Penyokong Manchester City mengecam pengadil Andrew Madley selepas beliau gagal menghadiahkan pasukan Pep Guardiola sepakan penalti ketika kalah pada final Piala FA Inggeris di tangan Manchester United malam tadi.

Juara Liga Perdana Inggeris itu dinafikan kejuaraan berganda dua kali berturut-turut apabila gol babak pertama menerusi Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo menyaksikan Manchester United melakar kejutan di Wembley.

Bagaimanapun penyokong pasukan berbaju biru percaya mereka dinafikan peluang untuk bangkit pada perlawanan itu apabila Mainoo tidak dipersalahkan kerana menjatuhkan penyerang City, Erling Haaland dalam kotak penalti.

Kekasaran pemain remaja itu dianggap adil oleh pengadil dan tidak dihakimi sebagai penalti oleh VAR, sekali gus menyebabkan kemarahan penyokong dan pemain City.

Susulan tidak mendapat sepakan penalti itu, sesetengah peminat menggunakan laman sosial untuk merungut mengenai kekasaran itu dan keputusan yang tidak menyebelahi mereka.

Ramai menyamakan insiden itu sesuatu yang anda akan lihat dalam WWE dengan seorang memberi komen, “Pengadil ingat ia perlawanan WWE” dan seorang lagi menyokong dengan “Pemain Manchester United sukakan WWE.”

Seorang lagi warganet menyamakannya dengan sukan lain apabila membuat hantaran, “Tackle hebat sukan ragbi di sana.”

Peminat lain mengesahkan “Ia satu penalti yang jelas” manakala akaun lain berasakan City patut mendapat dua sepakan penalti selepas kekasaran ke atas Haaland pada minit pertama perlawanan dan berkata, “Saya tidak percaya saya menyatakan ini tetapi City patut dapat dua penalti.”

Malah ada peminat yang menuduh pegawai perlawanan tidak mahu mereka menang dan menulis, “PGMOL tidak mahu kami menang kejuaraan berganda.”

sumber:- BH

Bukan hanya peminat kecewa dengan keputusan itu, Guardiola turut kelihatan berang selepas wisel penamat apabila beliau menuding jari ke arah pengadil. – AGENSI