Nasib malang menimpa penyerang Selangor FC, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei lalu terus mendapat perhatian daripada komuniti bola sepak termasuk dari luar negara.
Terbaharu, finalis Liga Juara-Juara Eropah, Borussia Dortmund menzahirkan sokongan terhadap Faisal dan meminta keganasan dalam bola sepak dihentikan.
Perkara berkenaan dikongsikan kelab gergasi Jerman itu di media sosial rasmi mereka selain turut memuat naik gambar Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey.
“Faisal Halim adalah pemain sayap yang bermain untuk Selangor FC dan pasukan kebangsaan Malaysia. Dia menjaringkan gol ketika kejohanan Piala Asia baru-baru ini menentang Korea Selatan.
“13 gol dan sembilan bantuan jaringan dalam liga musim lalu membantu Selangor FC berada di tangga kedua (Liga Super) dan meraih tempat dalam pertandingan peringkat Asia 2024/25.
“Berikutan berita terkini, Faisal diserang (disimbah asid) dan berada dalam kritikal (sebelum ini). Hentikan keganasan. Kami berdiri bersama Faisal Halim,” kata kelab itu.
Perhatian yang ditunjukkan Borussia Dortmund itu mendapat reaksi positif termasuk peminat dari Malaysia yang menyaksikan ‘hantaran’ kelab itu di Facebook mereka meraih lebih 350 komen.
Borussia Dortmund akan menentang gergasi Sepanyol, Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Wembley, 2 Jun depan.
sumber:- BH
Sementara itu, Selangor FC menerusi laman sosial mereka turut menghargai sokongan yang diberikan Borussia Dortmund kepada Mickey yang kini dalam proses pemulihan.