sukan

Haaland setanding peledak legenda EPL

Erling Haaland memenangi Kasut Emas buat kali kedua berturut-turut ketika Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-1 ke atas West Ham.

Walaupun tidak menjaringkan gol pada perlawanan terakhir liga itu, pemain Norway berusia 23 tahun berkenaan muncul penjaring terbanyak pada musim keduanya dengan 27 gol dalam 31 perlawanan selepas mengumpul 36 dalam 35 penampilan musim lalu.

Dia adalah pemain kelima memenangi Kasut Emas berturut-turut selepas Alan Shearer, Michael Owen, Robin van Persie dan Thierry Henry.

Namun dia adalah pemain pertama melakukannya dalam dua musim pertama Liga Perdana Inggeris.Haaland tetap menjadi pilihan untuk mencatat hatrik anugerah penjaring terbanyak itu musim depan dan berpeluang menyertai kelompok elit yang hanya dibarisi Shearer dan Henry dengan tiga kemenangan berturut-turut.

Dia terlepas gelaran Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini selepas diatasi rakan sepasukan, Phil Foden, yang meledak dua gol dalam kemenangan ke atas West Ham awal pagi tadi.

Foden berkata, bermain di samping Haaland adalah pengalaman yang menakjubkan.

“Saya tidak melihat dia sebagai manusia. Apabila permainan menjadi sukar, anda akan melihat kepadanya dan berfikir: ‘Bila dia akan menjaringkan gol untuk kami?’ Dan dapat bermain dengan pemain sepertinya sudah cukup bagus.

“Setiap kali keadaan bertambah sukar dia sentiasa muncul dan menjaringkan gol penting, seperti ketika dia menjaringkan dua gol penting ketika menentang Tottenham.

sumber:- BH

“Dia juga masih muda dan permainanya semakin meningkat. Bagi saya, ia adalah liga paling sukar di dunia dan dengan apa yang sudah dilakukannya, saya tidak tahu siapa lagi mampu menandinginya,” kata Foden. – AGENSI