sukan

“Piala FA ini banyak kejutan”

Bekas pemain kebangsaan, Safee Sali menjangkakan trofi Liga Super akan terus kekal dalam dakapan Johor Darul Ta’zim (JDT) buat kali ke-11 berturut-turut.

Jangkaan itu dibuat Safee berdasarkan skuad besar dan berkualiti tinggi dimiliki Harimau Selatan yang mana turut dibarisi pemain simpanan berstatus kebangsaan.

Namun, bagi saingan Piala Malaysia, dia mengharapkan pasukan lain iaitu Selangor FC (SFC) atau Terengganu (TFC) boleh merampas trofi itu dari JDT bagi musim ini.

“Untuk Liga Super saya masih memilih JDT sebab mereka ada skuad yang sangat besar. Pemain di bangku simpanan pun (kualiti) tahap pasukan kebangsaan yang mana mereka boleh ganti mana-mana pemain dan tahap permainan itu sama.

“Itu kelebihan JDT sebab Liga Super persaingan yang panjang. Untuk Piala Malaysia, saingan ini sangat menarik, Saya mengharapkan pasukan lain boleh juara.

“Saya mengharapkan Selangor atau Terengganu boleh menjuarai untuk Piala Malaysia musim ini,” katanya di saluran YouTube miliknya, Sports Tarik.Untuk rekod, JDT yang mendominasi kejuaraan Liga Super selama sedekad sejak 2014 turut mempertahankan semua trofi termasuk Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia buat dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023.

Selain itu, Safee yang pernah beraksi dengan beberapa pasukan termasuk JDT dan Selangor menganggap saingan Piala FA sukar untuk diramal kerana penuh dengan kejutan.

Dia bagaimanapun memilih beberapa pasukan iaitu JDT, Kuala Lumpur (KL) City, Terengganu dan Kedah Darul Aman (KDA) sebagai antara calon juara.

“Piala FA agak sukar sedikit, sebab mana-mana pasukan boleh jadi juara. Sudah pasti saya berasa final JDT dan mereka mungkin akan lawan KL City atau pasukan lain.

sumber:- BH

“Piala FA ini banyak kejutan. Saya susah nak pilih pasukan mana, dalam fikiran saya yang kuat sekarang adalah Terengganu. Tapi takkan Terengganu sahaja, jadi saya pilih pasukan lain juga, (mungkin) peluang Kedah untuk menjuarai Piala FA tahun ini,” katanya.