sukan

Perlu ke Pan Gon jadi macam Vietnam dan Indonesia

Adakah Malaysia harus melantik pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon untuk turut mengemudi pasukan bawah bawah 23 (B-23) tahun negara?

Ia susulan beberapa negara rantau ASEAN termasuk Indonesia dan Vietnam mengambil langkah sama dalam usaha memperkuatkan pasukan kebangsaan mereka.

Ketua jurulatih dari Korea Selatan, Shin Tae-yong membimbing skuad senior dan B-23 Indonesia dengan pasukan kebangsaan negara itu menunjukkan perkembangan positif.

Skuad muda Indonesia mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala Asia B-23 buat kali pertama di Qatar, baru-baru ini walaupun terpaksa akur terlepas tiket ke Sukan Olimpik 2024 apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Kira-kira 11 pemain muda yang digunakan Tae-yong untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Mac lalu dibawa ke Piala Asia B-23 yang menyaksikan Garuda Muda mempamerkan persembahan terbaik.

Vietnam juga meraih pencapaian yang membanggakan ketika Park Hang-seo mengambil alih skuad senior dan pasukan B-23 negara itu.

Terbaharu, Vietnam melantik pengendali dari Korea Selatan, Kim Sang-sik bagi mengemudi skuad senior dan B-23 mereka susulan berdepan prestasi kurang baik selepas ketiadaan Hang-seo.

Justeru, muncul persoalan adakah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) wajar mengikut jejak langkah Indonesia dan Vietnam dengan melantik Pan Gon untuk turut sama mengemudi skuad B-23.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa perkara itu akan dibincangkan dan ia memerlukan penelitian secara terperinci sama ada sesuai atau tidak untuk digunakan di Malaysia.

Beliau berkata, perbincangan dengan Pan Gon juga perlu dilakukan kerana ia turut akan menuntut perubahan dalam kontrak dan sebagainya.

“Kadang-kadang ada perkara sesuai dengan negara lain, dengan kita tidak sesuai. Namun, perkara itu (lantik ketua jurulatih sama bagi skuad senior dan B-23) pernah ada dibincangkan juga, mungkin kita akan bincangkan semula sama ada sesuai atau tidak.

“Keduanya kena ingat kalau Pan Gon tak setuju tak boleh juga. Kita akan lihat perkara itu, ia memang saya nak bawa kepada mesyuarat. Kita kena tengok kesesuaiannya kerana ia akan menuntut perubahan kontrak dan perkara lain,” katanya.

Skuad B-23 negara berdepan prestasi mengecewakan apabila terkandas di peringkat kumpulan Piala Asia B-23 2024 dengan menamatkan saingan Kumpulan D tanpa sebarang mata.