sukan

Penggunaan VAR mungkin dibatalkan

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) akan diberi peluang untuk memansuhkan penggunaan video bantuan pengadil (VAR) bermula musim depan apabila mereka mengundi mengenai sistem reviu kontroversi itu pada mesyuarat agung tahunan bulan depan.

Wolves membentangkan resolusi untuk memansuhkan VAR kepada pentadbir pertandingan Liga Perdana, mencetus undian dalam kalangan 20 pasukan divisyen utama pada 6 Jun ini.

Kelab Molineux itu berkata, VAR “menggugat nilai jenama EPL” selepas satu lagi musim dicemari beberapa keputusan kontroversi yang boleh dipersoalkan.

Dalam usaha VAR dibatalkan terus dalam EPL, 14 daripada 20 kelab perlu mengundi untuk memansuhkan penggunaannya.Wolves dijangka memujuk kelab lain dalam usaha mendapat sokongan sebelum mesyuarat itu.

VAR diperkenalkan dalam EPL pada 2019 bertujuan membantu pengadil mengelak kesilapan yang jelas dan nyata mencemari perlawanan pada masa lalu.

Namun terdapat banyak kontroversi mengenai penggunaan teknologi itu musim ini apabila pengurus dan peminat EPL semakin lantang menyuarakan kecaman mereka terhadap sistem itu.

“Pengenalan VAR pada 2019-20 satu keputusan yang dibuat dengan niat baik serta kepentingan terbaik bola sepak dan EPL,” menurut kenyataan Wolves itu.

“Bagaimanapun ia menjurus kepada banyak kesan negatif yang tidak diingini serta merosakkan hubungan antara peminat dan bola sepak selain menjejaskan nilai jenama EPL.

“Keputusan untuk membentangkan resolusi ini dibuat selepas pertimbangan teliti dan dengan penuh hormat terhadap Liga Perdana, PGMOL (badan induk pengadilan) dan kelab pesaing kami,” kata Wolves.

sumber:- BH

Pengurus Wolves, Gary O’Neil mendedahkan beliau kerap menerima panggilan telefon meminta maaf daripada ketua PGMOL, Howard Webb selepas keputusan VAR yang tidak menyebelahi pasukannya. – AFP