sukan

Kes Akhyar diserahkan kepada Bukit Aman

Siasatan kes pukul dan samun yang berlaku kepada pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid kini diserahkan kepada polis Bukit Aman.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim yang menjelaskan pihaknya belum mendapat maklumat lebih lanjut lagi berkaitan siasatan kes berkenaan.

“Setakat ini saya dimaklumkan oleh pihak polis, siasatan kes berkenaan diserahkan kepada pihak PDRM Bukit Aman di ibu negara, ini sahaja perkembangan yang dimaklumkan, manakala selebihnya belum mendapat maklumat lagi.

“Bagaimanapun kita mengharapkan kes berkenaan dapat diselesaikan oleh pihak polis selain turut mengharapkan kes yang berlaku kepada Akhyar dan juga pemain Selangor FC, Faisal Halim adalah yang terakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Penaja Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, dekat sini petang ini yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Marzuki Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas.

Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri berkata, penutupan Pusat Latihan TFC kepada peminat setia skuad Penyu itu yang mahu menyaksikan pemain berlatih adalah bersifat sementara.

Jelasnya, penutupan pusat latihan itu adalah sebagai langkah keselamatan kepada semua pemain, barisan kejurulatihan serta pihak pengurusan bagi memastikan insiden keganasan tidak lagi berulang.

“Langkah TFC mengadakan latihan tertutup buat masa ini berikutan serangan yang berlaku kepada Akhyar kerana kita dapati pergerakan pemain itu diikuti oleh pihak bertanggungjawab.

“Jadi apabila berlaku demikian kita mengambil langkah drastik, kita perlu hentikan pandangan daripada mana-mana pihak bagi memantau pergerakan pemain ini, lagipun kita lakukan demikian adalah nasihat daripada pihak polis atas faktor keselamatan.

“Malah pihak polis juga mengenal pasti semua alamat rumah pemain, begitu juga pergerakan mereka perlu juga dilaporkan kepada pihak keselamatan.

“Walau bagaimanapun kita tutup pusat latihan kepada peminat hanyalah bersifat sementara sehingga keadaan kembali reda, pada masa sama kita juga memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat latihan berkenaan,” katanya.