sukan

Enggan dibalun JDT lagi

Negeri Sembilan FC (NSFC) mahu memastikan pengalaman pahit ketika tewas besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), 7-0, dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada musim lalu tidak berulang pada musim ini.

Sebaliknya, skuad Hobin Jang Hobin yang akan turun menentang Harimau Selatan pada aksi permulaan liga, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini, berazam mahu memastikan mereka dapat memberikan tentangan sengit dan meraih keputusan terbaik.

“Kekalahan kepada JDT, 7-0 di laman sendiri musim lalu masih segar dalam ingatan kerana saya sebagai sebahagian daripada pemain yang beraksi ketika itu.

“Kekalahan besar itu sememangnya memeritkan bagi pasukan dan pemain. Kami tidak mahu situasi serupa berulang musim ini dan akan berusaha memberikan persembahan terbaik,” kata penolong ketua pasukan, Annas Rahmat, hari ini.

Annas berkata, aksi itu ternyata memberi pengalaman berguna kepadanya apabila bakal berhadapan dengan juara 10 kali Liga Super itu, Sabtu ini.

Tonggak pertahanan berpengalaman berkenaan, yakin situasi terbabit tidak akan berlaku sekali lagi dengan kekuatan dan barisan kejurulatihan serta barisan pemain yang menganggotai pasukan musim ini.

sumber:- HM

Justeru itu, Annas yang pernah beraksi dengan beberapa pasukan utama Liga Super sebelum ini mahu rakan-rakan memberikan persembahan terbaik untuk memburu keputusan positif.