sukan

Zii Jia sekali lagi tidak berpeluh untuk mara

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mempunyai peluang cerah untuk memburu kejuaraan kedua di Terbuka Thailand selepas pemain pemain nombor enam dunia dari China, Li Shi Feng menarik diri sebelum pusingan pertama bermula esok.

Shi Feng adalah pemain pilihan ketiga kejohanan dan masih segar dengan kejayaan membantu China merangkul Piala Thomas, baru-baru ini.

Dia pasti akan menjadi masalah kepada Zii Jia untuk ke final apabila kedua-dua pemain itu dijangka bertemu di suku akhir.Zii Jia yang berada di ranking ke-10 dunia sepatutnya bertemu wakil Thailand, Kantaphon Wangcharoen, namun disebabakan penarikan diri Shi Feng, berlaku sedikit perubahan dan dia akan bertemu seorang lagi pemain China, Lee Lan Xi di pusingan pertama esok dan dijangka tiada masalah mara ke pusingan seterusnya.

“Menurut peraturan baru, pemain pilihan ketiga yang menarik diri sebelum mesyuarat pengurus pasukan berakhir akan digantikan oleh sesiapa sahaja yang diundi antara pilihan kelima hingga kelapan dalam suku yang sama,” jelas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan.

Mengikut rekod pertemuan, Zii Jia hanya sekali pernah bertemu Lan Xi yang menyaksikan dia mencatat kemenangan ke atas lawan itu ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2023.

Sekiranya Zii Jia tidak kalah awal di pusingan pertama, dia bakal bertemu sama ada Magnus Johannesen dari Denmark atau Jeon Hyeok Jin dari Korea Selatan di pusingan kedua.

Sekali lagi undian kali ini memihak kepada pemain negara itu apabila dia sepatutnya bertemu lawan lebih sukar dari Jepun, Koki Watanabe di pusingan itu.

Di suku akhir, nanti, pemain kelahiran Kedah itu dijangka bakal berhadapan lawan dari China, Lu Guang Zu dan pertemuan ini pasti menarik selepas pemain nombor 19 dunia itu berjaya memalukan Zii Jia di hadapan penyokong sendiri di pusingan pertama Terbuka Malaysia, awal tahun lalu.

Dalam acara beregu lelaki, Choong Hon Jian-Haikal Nazri mendapat kelebihan dengan laluan mereka kini nampak lebih mudah daripada sebelumnya.

Hon Jian-Haikal akan berdepan pasangan adik-beradik dari Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley di pusingan pertama.

Jika tidak, mereka sepatutnya bertemu wakil dari Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang di pusingan awal.

Sekiranya layak, menanti mereka adalah pasangan tuan rumah, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsanga di pusingan seterusnya.

sumber:- HM

Dalam undian sebelum ini, mereka bakal berdepan pilihan kedua dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia dalam pusingan kedua.