sukan

FAM hantar surat pertuduhan

Surat pertuduhan sudah dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap dua pasukan Piala Belia yang terbabit dalam insiden pergaduhan ketika aksi antara Melaka FA dan Sri Pahang FC di Stadium Hang Tuah, Melaka, Ahad lalu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman yang mengakui sudah menerima laporan lengkap insiden itu dan pihaknya sudah menghantar surat pertuduhan.

“Bagi FAM kita pandang serius perkara sebegini, laporan lengkap akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib untuk lihat langkah hukuman yang akan dikenakan.

“Saya harapkan kalau tindakan tegas yang (boleh) kita akan ambil memandangkan di peringkat Piala Belia tak sepatutnya berlaku macam ini (pergaduhan). Piala Belia sekurang-kurangnya medan melahirkan pemain yang berdisiplin, beradab dan sebagainya,” katanya ketika ditemui, di sini.

Terdahulu, tular di laman sosial video aksi ‘kungfu’ dan ‘flying kick’ babitkan pemain Melaka dan Sri Pahang FC.Menerusi rakaman video itu, insiden panas itu bermula dengan aksi tolak menolak antara beberapa pemain di tepi padang.

Bagaimanapun, situasi bertambah tegang ala gengster apabila semakin ramai pemain yang terbabit dengan aksi tolak menolak sambil cuba ditenangkan barisan kejurulatihan yang mahu menghentikan pergaduhan itu.

Kemuncak pergaduhan itu adalah apabila seorang pemain Sri Pahang kelihatan menerajang seorang pemain Melaka sehingga terjatuh.

Insiden itu menyaksikan pemain simpanan Sri Pahang FC, Adam Syaqir Barzu dilayangkan kad merah pada minit ke-41 kerana menendang pemain Melaka.

sumber:- HM

Video berkenaan menarik perhatian ramai pihak terutamanya penyokong bola sepak tanah air apabila saingan yang membabitkan ‘ubi muda’ dicemari dengan insiden pergaduhan.