sukan

Sabah FC sepatutnya dapat Penalti

Sabah FC mungkin mendapat sepakan penalti yang boleh mengubah keputusan seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama Liga Super menentang Penang FC di Stadium Likas, malam tadi.

Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee berkata peluang baik untuk pasukannya mungkin diberikan jika video bantuan pengadil (VAR) yang mula diperkenalkan dalam saingan musim ini berfungsi.

Katanya, Sabah terpaksa menelan hakikat teknologi itu tidak dapat digunakan pada saat akhir bagi membantu pengadil perlawanan membuat keputusan tepat malam tadi.

“Kalau ada VAR kemungkinan ada penalti untuk kami, tetapi kami harus terima pada saat-saat akhir VAR tidak dapat digunakan.”Jadi, kemungkinan kali ini tidak membantu tetapi pada perlawanan akan datang mungkin dengan adanya VAR akan tambah baik dari segi keputusan pengadil,” katanya kepada wartawan malam tadi.

Pada aksi itu, pemain Sabah mendakwa berlaku ‘handball’ dalam kotak penalti Penang ketika perebutan bola antara Saddil Ramdani dengan seorang pemain pelawat pada minit ke-77.

Bagaimanapun, pengadil tidak melihat situasi itu dan hanya memberikan Sabah sepakan sudut, manakala semakan VAR tidak dapat dibuat kerana tidak berfungsi.

sumber:- BH

Sistem VAR di Stadium Likas dilaporkan tidak dapat digunakan pada saat akhir menjelang sepak mula pada jam 5.45 petang semalam disebabkan masalah teknikal.