sukan

Ratusan ribu sebulan bukan ‘melampau’

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membayar gaji yang ‘melampau’ kepada barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya diterajui Kim Pan Gon tetapi jumlah yang dibayar kepada mereka dianggap amaun yang munasabah.

Perkembangan itu dijelaskan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang memaklumkan badan induk itu tidak membayar gaji terlalu tinggi untuk mendapatkan khidmat barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

“Secara keseluruhan kalau ikut setiap seorang (pembantu jurulatih) mengikut ranking mereka dalam pasukan, gaji mereka sekitar US$5,000 (RM23,600) US$10,000 (RM47,290) hingga US$15,000 (RM70,900).

“Kalau ketua jurulatih, (gaji) lebih besarlah tetapi semuanya munasabahlah. (Gaji) bawah US$20,000 (RM94,500) tetapi semuanya dalam Dollar Amerika Syarikat,” kata Hamidin.

Dalam perkembangan sama, Hamidin turut menegaskan gaji semua barisan kejurulatihan yang dianggarkan bernilai ratusan ribu secara keseluruhan itu ditanggung oleh badan induk terbabit.

“FAM bayar semua (gaji),” katanya.Sebagai rekod, barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya ketika ini diketuai Pan Gon dan dibantu dengan dua pembantu jurulatih iaitu Pau Marti Vicente dan jurulatih tempatan, E Elavarasan.

Barisan kejurulatihan lain yang turut membantu Pan Gon antaranya adalah pembantu jurulatih, Park Bo bae; juruanalisis prestasi Lim Jae hun and pembantunya, Lee Je Yoon; jurulatih kecergasan, Park Ji Hyeon dan jurulatih penjaga gol, Cho Jun-ho.

sumber:- BH

Gaji yang dibayar boleh dianggap berbaloi memandangkan mereka berjaya membawa skuad negara mara ke Piala Asia 2023 secara merit dan kini masih berpeluang untuk mencipta sejarah membawa skuad kebangsaan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan slot automatik Piala Asia 2027.