sukan

‘Lebih baik daripada potong mata’

Nasib yang bakal menimpa Selangor FC susulan keputusan mereka menarik diri dari aksi Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu masih belum ditentukan.

Terdapat pelbagai spekulasi mengenai hukuman yang mungkin dikenakan ke atas Gergasi Merah termasuk ada yang membuat andaian naib juara Liga Super musim lalu itu akan didenda atau dipotong mata.

Bagaimanapun, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ketika ini belum membuat sebarang keputusan dengan Lembaga Pengarah difahamkan akan bermesyuarat dalam masa terdekat.

Penganalisis bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berpandangan bahawa Selangor ketika ini perlu berharap mereka hanya dikenakan hukuman denda daripada MFL berbanding pemotongan mata.

Bekas pengurus pasukan Selangor itu menjelaskan, seandainya dipotong mata, ia akan memberi kesukaran untuk Gergasi Merah bangkit mengejar kedudukan terbaik dalam Liga Super.

Beliau bagaimanapun berkata, bentuk hukuman itu terpulang kepada kebijaksanaan MFL dengan mempertimbangkan semua perkara termasuk sebab Gergasi Merah mengambil keputusan menarik diri.

“Kalau tanya saya, lebih baik denda, kalau potong mata Selangor berdepan kesukaran untuk kejar kedudukan terbaik. Apa pun, semuanya terpulang kepada MFL, mereka ada hak sebab mereka penganjur.

“Sekarang bola di kaki MFL untuk membuat keputusan, cuma MFL perlu pastikan mereka buat keputusan berdasarkan pendirian dan peraturan yang ada dalam MFL.

“Selangor pun apabila mereka buat keputusan tarik diri, mereka mungkin sudah fikir dan berbincang secara terperinci sebelum buat keputusan itu,” katanya kepada BH Sukan.

Rabu lalu, Selangor FC mengumumkan ‘tidak hadir’ untuk aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim atas faktor keselamatan selepas permohonan mereka untuk menunda perlawanan itu ditolak MFL.

Susulan daripada itu, MFL mengumumkan pembatalan aksi Piala Sumbangsih sekali gus menyaksikan JDT diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super.

Selain itu, Zakaria berkata, MFL wajar membuat pertimbangan terbaik terhadap hukuman yang bakal dikenakan ke atas Selangor berdasarkan situasi yang dihadapi Gergasi Merah.

sumber:- BH

“Ini bukan kes sengaja (tarik diri) atau memboikot, ia berkaitan kes keselamatan pemain. MFL kena ambil pendirian yang bijak dalam hal ini berdasarkan keadaan dan suasana sekarang,” katanya.