PENYERANG sensasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad hanya memerlukan 33 saat untuk meledak gol terpantas dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024/25 yang membuka tirai pada Sabtu.
Jaringan pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sekali gus meletakkan skuad Sang Kenari di depan mengatasi PDRM FC 1-0 pada separuh masa pertama dalam aksi Liga Super di Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Syafiq menyudahkan hantaran jauh dari kapten, Sony Norde untuk menewaskan penjaga gol The Cops, Bryan See.
Jaringan tersebut mendapat bantahan pemain-pemain PDRM yang mendakwa penyerang berusia 28 tahun itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Namun gol tersebut disahkan oleh pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih menerusi sistem bantuan video pengadil (VAR).
Ketinggalan satu jaringan tidak mematahkan semangat pasukan tuan rumah, namun beberapa percubaan gagal menemui sasaran, selain cuaca hujan turut membataskan percaturan mereka.
sumber:- SH
Keputusan babak pertama kekal menyaksikan Kedah di depan dengan kelebihan satu jaringan mengatasi PDRM menuju ke bilik persalinan untuk tempoh rehat selama 15 minit.
Memasuki babak kedua tidak banyak yang dapat dilakukan oleh para pemain kedua-dua pasukan memandangkan air yang bertakung di kawasan padang menyukarkan pergerakan mereka.
Biarpun skuad The Cops cuba bangkit, namun benteng pertahanan Kedah ampuh bertahan dan keputusan kekal memihak Sang Kenari dengan kemenangan tipis 1-0.
Badan bebas First Instance Body (FIB) pada 5 April lalu mengumumkan KDA dikenakan pemotongan tiga mata dan denda RM50,000 ekoran kelab itu gagal melunaskan tunggakan gaji bagi tahun 2023.
Para peminat bola sepak bakal disajikan dengan dua lagi aksi Liga Super malam ini.
Ia bermula dengan aksi Sri Pahang FC menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada jam 8.15 malam.
Terengganu FC pula bakal melayan kunjungan Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada jam 9 malam.