sukan

Azeem Fahmi terpaksa tunggu lagi

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terpaksa menunggu lagi dalam usahanya untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini selepas Azeem, 20, yang mewakili Universiti Auburn, menduduki tempat keenam dengan catatan 10.36 saat (s) pada saringan kedua di Kejohanan Olahraga SEC 2024 di Gansville, Florida, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan dia gagal melayakkan diri ke pentas final dan menduduki tempat ke-21 keseluruhan daripada 34 peserta.

Hanya juara daripada setiap empat saringan dan lima catatan naib juara terbaik mara ke final.

Saringan kedua diungguli rakan sepasukan Azeem, Kanyinsola Ajayi yang mencatat 10.13s diikuti Da Marcus Fleming dari Lousiana State University, kedua (10.19s) manakala pelari University of South Carolina, Nyck Habor ketiga (10.22s).

Catatan dilakukan Azeem awal pagi tadi gagal untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod peribadi terbaiknya musim ini, 10.24s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Baton Rouge, Los Angeles pada 27 April lalu.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s itu akan meneruskan pemburuan tiket ke Olimpik Paris menerusi kejohanan NCAA Preliminaries di Lexington, Kentucky dari 22 hingga 25 Mei ini, Kejohanan NCAA di Eugene Orlando (5 hingga 8 Jun) sebelum kembali ke tanah air menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia dari 14 hingga 16 Jun.

Sekiranya Azeem gagal melakukan catatan 10s, dia masih berpeluang ke Olimpik menerusi kedudukan ranking.

sumber:- BH

Dia ketika ini berada di kedudukan ke-48 ranking kelayakan ke Paris dengan dia perlu berada dalam kelompok 56 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan hujung bulan depan.