sukan

Komen Nafuzi aksi sulung Kedah musim ini

Meskipun hadir dengan reputasi pasukan yang berada pada tangga keempat Liga Super musim lalu, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap mengganggap aksi pertamanya menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang esok sebagai aksi yang sukar dan sengit.

Pengendali Sang Kenari Nafuzi Zain berkata, skuadnya perlu lebih berwaspada dan kekal fokus dalam misi memburu tiga mata di tempat lawan kerana perlawanan ini dianggap cukup mencabar melihat kepada persiapan serta kemampuan skuad PDRM yang memilki skuad yang lebih baik pada musim ini.

“Saya mahu setiap pemain membawa fokus terbaik mereka melalui persiapan yang telah kami lakukan untuk aksi pertama kami menentang PDRC FC petang esok yang saya jangka tidak mudah buat kami sepanjang 90 minit permainan.

“Misi kami sudah pasti mahu mendapatkan tiga mata di tempat lawan dan melihat kepada persiapan yang dijalani pasukan selama ini, semuanya berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang telah kami diaturkan.

“Saya yakin pemain telah bersedia sepenuhnya untuk memulakan aksi pertama ini dan saya berpesan kepada semua pemain agar dapat turun dan mempamerkan aksi penuh keyakinan pada aksi sulung pada musim ini,” katanya selepas tamat latihan pasukan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) petang semalam.

Nafuzi juga berkata, beliau kini sudah memiliki set kesebelasan utama pasukan yang berada dalam perancangannya selepas menilai tahap pemain melalui siri perlawanan pramusim dan latihan dalaman yang dilalui sebelum ini.

“Dengan kesebelasan utama yang bakal diturunkan nanti, saya berharap pemain dapat memberi aksi yang terbaik seperi dirancang kerana kami tidak boleh kehilangan mata selepas tiga mata kami ditolak berikutan isu tunggakan gaji musim lalu.

“Hal (pemotongan tiga mata) itu perkara yang sudah pun berlalu dan tiada apa yang boleh mengubah keadaan. Oleh itu, kami mahu terus kuatkan semangat dan terus pandang ke depan untuk memulakan aksi musim baharu ini melalui tekad dan azam yang baharu.

sumber:- HM

“Cuma saya berharap tahap keyakinan semua pemain akan berada dalam keadaan terbaik bagi memulakan aksi pertama kami ini dengan memberi fokus sepenuhnya untuk membawa pulang tiga mata berharga,” katanya.