sukan

Haikal mahu jumpa Jaguh Indonesia

Pemain beregu lelaki negara, Mohd Haikal Nazri menyasarkan untuk bertemu gandingan kesembilan dunia dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana di Terbuka Thailand dijadual berlangsung di Bangkok, Selasa ini.

Begitupun, Haikal yang bergandingan dengan Choong Hon Jian harus terlebih dahulu menewaskan beregu lebih berusia di ranking ke-106 dunia dari Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang di pusingan pertama untuk mengatur pertemuan dengan Shohibul-Bagas di pusingan kedua.

Haikal berkata, pertemuan dengan gandingan di kelompok ranking teratas seperti Shohibul-Bagas sudah tentunya dapat memberi pengalaman berharga sekali gus memperbaiki corak permainan mereka pada masa akan datang.

“Walaupun kita tahu gandingan Korea ini rankingnya tak tinggi tetapi mereka masih kuat. Jadi apa yang penting buat kami adalah berikan yang terbaik dalam gelanggang nanti.

“Lagipun, saya mempunyai sasaran untuk melawan Shohibul-Bagas, jadi saya harap dapat menang di pusingan pertama nanti. Saya ingin bertemu mereka (Shohibul-Bagas) kerana mereka ini gandingan di kelompok atas.

“Sebenarnya bukan mereka sahaja, sesiapapun yang lagi atas daripada kami… contohnya sekiranya mara ke suku akhir, kami ada peluang bertemu Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia), jadi saya harap boleh menang dan berlawan dengan gandingan di kelompok atas.

“Bagi saya, apabila kita berlawan dengan gandingan kelompok di atas ini, kita akan dapat lihat lebih lagi apakah kelemahan yang kita ada dan daripada itu, kami boleh belajar,” kata Haikal.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan pertama dengan Gi Jung-Sa Rang, Haikal berkata, dia dan Hon Jian yang pada ketika ini berada di ranking ke-28 dunia sama sekali tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan.

sumber:- BH

“Kami belum pernah bertemu dengan mereka. Walaupun mereka sudah berusia, tetapi kami tak boleh ambil sambil lewa. Tetap kena fokus dan apa yang penting, jangan letakkan sebarang tekanan apabila bertemu lawan sebegitu. Bagi saya, kami perlu memberikan yang terbaik mungkin,” kata Haikal.